Monday, February 10, 2014

Kurelakan Jiwa

Kusangka hidupku
Selamanya kelam
Terbelenggu ikatan tanpa manisnya cinta

Memaksa diriku
Menapaki jalan
Arah yang tak pernah ku mahu dalam hatiku

Kini kau pun hadir
Memberi cahaya
Membangunkan ku dari suramnya mimpi ngeri

Menuntun hatiku ke palung asmara
Seakan ku hidup kembali dari matiku

Engkaulah cinta
Yang selama ini aku cari

Ku Relakan Jiwa
Tuk menjadi penghuni dalam sangkar hatimu
Kerna engkaulah nadi yang menghidupkan aku
Yang mampu melarutkian setiap sepi hatiku

Thursday, February 6, 2014

Permaisuriku

Sedikit demi sedikit
Ku coba lantunkan syair lembut
Yang perlahan membisik
Dengan syahdu ketelingamu
Biarkan aku mencoba
Membawamu kedunia angan
Bersama kita berdiri
Diantara awan yang melangkah beriring
Ku pimpin kau kearah senja
Menikmati redupnya sang mentari
Menghias jinga langit-langit
Sejukan hatimu Permaisuri ku

Pancaran sinarmu yang mempesona
Takkan bisa buat langit ini kelabu
Hingga menitihkan air mata deras
Yang kadang melukai dan membunuh
Tetaplah tenang kau disana
Tetaplah terus terangi lorong jalan gelap
Temani bintang berkilau indah
Seindah senyummu Permaisuri ku
Jangan pernah berhenti memegang telapak ini
Jangan kau lepas jari halusmu ini
Genggamlah, jamahilah, dan rasakanlah
Biarkan damai merasuki ruang kecil di hatimu
Dan saat itu,
Pejamkanlah sejenak dari sadarmu
Bayangkanlah ketenangan yang kuberi
Di setiap sela-sela sempit dalam khayalan
Merintihlah jika kau bersedih
Karena ku tak bisa selalu di dekatmu
Tersenyumlh jika kau bahagia
Karena aku merindukanmu.

Love,
Anje...

Wednesday, December 25, 2013

Kembara Cinta : New Journey, New Life

4 Tahun Berlalu....



"Kita nak pergi tengok baju kat kedai mana dulu ni?" Fitri menyoal Asyikin.

"Mana-mana pun takpe..." Seperti biasa, jawapan yang selalu diberikan oleh Asyikin akan membuatkan dia sendiri tertanya-tanya tempat yang harus dituju. Jarang benar Asyikin memberitahu sesuatu perkara itu dengan jelas lebih-lebih lagi jika ditanya berkenaan dengan tempat atau lokasi ketika mereka keluar bersama.


Fitri tiba seawal jam 11 pagi di rumah Asyikin hari ini. Mereka akan keluar mencari baju dan pakej pertunangan yang akan digunakan sempena majlis bertunang yang akan diadakan pada hujung bulan 12 nanti. Hati Fitri melonjak kegembiraan taktala hasrat hatinya untuk menyunting Asyikin sebagai suri hidupnya kini sudah terjawab. Tidak lama lagi, gadis itu akan menjadi tunangnya, dan harapannya agar mereka dapat bergelar suami isteri dan hidup bahagia hingga ke akhirnya.


Imbas kembali....


"Bulan 12 ni boleh la datang hantar rombongan.." Asyikin memulakan bicara semasa Fitri menghubungi gadis itu pada suatu malam. Pucuk dicita, ulam mendatang, perkara yang dinantikan selama ini sudah mendapat kepastiannya.


Beberapa kali hasratnya untuk menghantar rombongan untuk meminang Asyikin tidak kesampaian apabila gadis itu menyatakan ketidaksediaannya untuk menjadi tunangan orang. Ditambah lagi dengan krisis yang berlaku pada awal tahun itu yang hampir membuatkan hubungan mereka terpisah di tengah jalan, hampir saja dia putus asa di saat itu, tetapi Fitri cuba mencari sisa-sisa kekuatan dan cuba sedaya upaya untuk memenangi hati gadis itu.


Fitri terus menyatakan hasratnya itu kepada kedua ibu bapanya selepas Asyikin memberikan peluang untuknya. Hasratnya disambut baik oleh mereka, kini Fitri cuma perlu mencari tarikh yang sesuai untuk melangsungkan majlis pertunangan itu.

.......................................................................................................................................


Hari ini, perkara pertama yang perlu diselesaikan adalah untuk mencari baju yang sesuai untuk dipakai oleh Asyikin nanti, mereka tidak mempunyai banyak masa memandangkan masing-masing sibuk dengan urusan kerjaya yang padat ditambah pula dengan kesukaran Fitri untuk mendapatkan cuti memandangkan dia baru sahaja bertukar tempat kerja dan cuti mingguannya hanyalah pada hari Ahad.


Mereka singgah di sebuah kedai di Pusat Bandar Parit Buntar, ketika Fitri sudah pun memberhentikan keretanya, Asyikin kelihatan sedikit gelisah.

"Jom, kita pi tengok kat kedai tu dulu." Fitri menunjukkan kedai yang akan dituju.

"Orang segan la nak masuk, takpe ke ni? masuk tengok je? nanti orang tu cakap apa pulak..." Kegelisahan Asyikin mula terpancar.

"Takpe, kita masuk nanti cakap la nak survey dulu, diorang tak kisah la.." Fitri cuba memberi keyakinan.

"Betul ke ni kita nak bertunang Anje? Mana tau tak jadi ke?" Asyikin masih lagi kelihatan ragu-ragu.

"La, betul la, mak dengan abah Anje dah confirm nak datang, dah, jom kita pi tengok dulu baju kat dalam kedai tu." Fitri terus berjalan masuk ke dalam kedai membiarkan Asyikin masih lagi gusar di luar kedai, dia memberikan masa kepada gadis itu untuk menenangkan dirinya sementara dia melihat koleksi pakaian di dalam kedai itu.


Setelah sehari suntuk berjalan melihat pakej-pakej pertunangan yang disediakan di sekitar Parit Buntar, mereka akhirnya bersetuju untuk menempah pakaian di Amie Anjung, Fitri berkenan untuk menempah di situ kerana dia suka melihat solekan yang dikenakan tidak melebih-lebih, baginya cukup sekadar solekan yang biasa, tidak keterlaluan, dan dia sendiri kurang suka melihat Asyikin bersolek jika mereka keluar bersama, cukup sekadar memakai bedak kerana baginya muka tanpa solekan itu akan menyerlahkan kecantikan yang lebih asli. Untuk pelamin pula, mereka menempahnya dari saudara Asyikin.


Selepas siap menempah baju dan pelamin, mereka terus menuju ke Seberang Jaya untuk ke gedung pemborong barangan pengantin, Asyikin perlu mencari barang-barang yang akan digunakan sebagai alas untuk melapik hantarannya nanti. Apabila mereka sampai di sana, tempat itu hampir menamatkan operasinya, keadaan agak kelam kabut apabila mereka agak tergesa-gesa untuk mencari barang yang sesuai. Akhirnya, Asyikin mengikut cadangan Fitri agar kerjanya untuk membuat hantaran di rumah nanti akan lebih mudah.


Seharian mencari barang keperluan, mereka terus pulang selepas menikmati makan malam di restoran makanan segera, KFC. Selepas menghantar Asyikin, Fitri perlu berpatah balik ke Pulau Pinang kerana rumah sewanya di sana. Dalam perjalanan pulangnya,Fitri tersenyum keseorangan. Tidak sabar rasanya untuk menanti hari bersejarah itu. Harapannya agar segalanya berjalan lancar.

.............................................................................................................................


Kepulangannya ke kampung halaman kali ini bukanlah biasa-biasa kerana esoknya Fitri akan membawa ahli keluarganya ke rumah Asyikin untuk menghantar rombongan meminang gadis idamannya itu. Segala persiapan seperti barang hantaran dan cincin pertunangan hampir siap, Fitri sendiri tidak tahu cincin bagaimana yang akan diberikan nanti memandangkan cincin yang dibelinya dulu sudah ditukar oleh ibunya pada petang itu.


Rombongan mereka bertolak seperti yang dirancang, 6 buah kereta menuju ke satu destinasi, untuk merealisasikan impian seorang anak muda di bumi Negeri Perak. Hati Fitri semakin berdegup kencang, fikirannya celaru, terlalu gementar, harapannya agar kelancaran majlis hari ini tidak terganggu. Di sana, Asyikin sudah bersiap dengan pakaian yang ditempah, dan sedang disolek di kedai seperti yang diminta mereka tempoh hari.


Perjalanan yang memakan masa hampir dua jam itu akhirnya tiba ke destinasinya juga. Kelibat rombongan ahli keluarga Fitri di rumah Asyikin disambut baik. Hendak ikutkan hati, Fitri tidak mahu pergi ke mana-mana, tetapi sudah adatnya begitu, si lelaki tidak boleh ada berdekatan dengan rumah si perempuan, Fitri akur. Selepas menghantar rombongan itu, Fitri terus keluar dari kawasan rumah Asyikin, hanya menanti panggilan dari mereka dan pastinya harapannya agar apabila dia kembali nanti, Asyikin sudah pun menjadi tunangnya.


Tidak sampai setengah jam menunggu, dia dipanggil balik.

'Mai2 mkn..' pesanan ringkas yang diterima daripada Asyikin.


Fitri terus menuju ke rumah Asyikin semula, Alhamdulillah, perbincangan kedua belah pihak tidak memakan masa yang lama. Asyikin kini secara rasminya bergelar tunang kepada Fitri. Selangkah mereka menuju ke alam rumah tangga. Selepas ini, Fitri perlu meyiapkan dirinya dengan ilmu rumah tangga pula agar dia dapat menjadi suami yang baik kepada Asyikin. Impian untuk memperisterikan Asyikin kini semakin nyata, Fitri tidak mahu menoleh ke belakang lagi, inilah harapannya, inilah impiannya. Melihat Asyikin yang begitu cantik dengan pakaian yang dipilih mereka tempoh hari, Fitri tersenyum kegembiraan.


Selepas bergambar dengan tunangnya, Fitri membawa pulang rombongannya ke Kedah. Majlis yang berlangsung hampir dua jam itu menyaksikan ikatan pertunangan mereka berdua tidak lama lagi akan menyatukan dua keluarga dengan satu ikatan perkahwinan yang sah pula. Fitri masih lagi tersenyum, gembira sungguh dirinya. Dia kini sudah pun bertunang dengan Asyikin! =)

........................................................................................................................................

Sunday, October 6, 2013

Kembara Cinta : Chapter 11


Seminggu sudah berlalu, hatinya masih berbunga-bunga, manakan tidak, hasrat hati yang lama dipendam akhirnya disambut dengan satu jawapan yang diidamkan. Masih terbayang peristiwa malam itu, hampir saja dia tidak dapat mempercayai apa yang didengar, tapi mungkin itulah yang dinamakan jodoh. Takdir Allah S.W.T menemukan dua insan yang siapa sangka dahulunya hanya sekadar teman biasa.


Fitri merenung telefon bimbit di tanganya, niat hati mahu mengajak Asyikin keluar makan malam bersama tapi dia sendiri tidak tahu bagaimana caranya. "Ah, apsal aku kekok semacam ni? kan dia dah jadi awek aku, kenapa nak malu lagi ni?" dia bermonolog sendiri. Dia meletakkan sebentar telefon bimbitnya di atas meja dan keluar dari bilik, kosong. Kawan-kawannya yang lain telah pun keluar sebentar tadi. Fitri masuk semula ke dalam bilik, dicapainya telefon bimbit yang ditinggalkan sebentar tadi, jarinya laju menekan punat di telefon tersebut.


'Salam.. ekin dah makan?' mesej dihantar.

'Wmussalam, blom lagi.. nape?' Asyikin juga membalas pantas.

'Jom keluar makan nak? dekat2 sini ja.. hehe' Fitri tidak menunggu lama untuk menyatakan hasratnya, dia juga sudah tidak tahan kelaparan.

'Blh, tapi owg bwk member owg skali eh'

'Ok, blh.. satg abg amik kt blkg k..'



Di kedai makan, kedua-duanya kelihatan selamba, tidak banyak yang dibicarakan, Asyikin juga membawa kawannya, Sya, seperti yang diberitahu kepada Fitri sebelum ini. Mereka hanya sekadar sembang kosong sebelum Fitri menghantar Asyikin dan Sya pulang ke kolej. Fitri kemudian pulang ke rumah, baru saja kakinya menapak di pintu masuk, Wafi menjengah dari balik pintu.



"HAHH!!! Kau pergi mana tadi?" Wafi menyergah.

"Choy, terkejut aku, tak pergi mana pun, keluar makan la, dah korang tinggal aku tadi" Fitri menjawab soalan sahabatnya itu sambil lewa.

"Eleh, orang dah ade awek, mane la nak keluar dengan kawan-kawan lagi kan" Wafi mula menyakat disambut gelak tawa dari rakan serumah yang lain.

"Macam-macam la korang ni, aku keluar makan je pun... Lapar sangat, korang pun keluar bukan nak bagitau aku.." Fitri menjawab sambil berlalu masuk ke biliknya. Saja dibuat begitu supaya Wafi tidak menyakatnya lebih-lebih.



Dia baring di atas katil, senyuman terukir tanpa perlu dipaksa. 'Adakah ini perasaan yang dirasa oleh orang bercinta?' Hatinya berkata-kata sendiri. Beberapa ketika kemudian, dia lena dibuai mimpi. Mimpi indah yang hanya ada dia dan Asyikin.

........................................................................................................................................

Malam itu hujan turun dengan lebat sekali, Fitri sedang berbual dengan Khidhir dihadapan rumah, sedang asyik berbual, dia terpandang kelibat dua orang gadis yang sedang berjalan di dalam hujan lebat itu. Gadis yang berada di sebelah kiri itu seperti dikenalinya, tapi dia kurang pasti kerana penglihatannya pada waktu malam agak terhad, ditambah pula dengan keadaan hujan lebat ketika itu, namun dari gerak hatinya dia dapat rasakan gadis itu adalah Asyikin.


'Apa patut aku buat ni? Nak panggil ke? Kalau panggil nak buat apa? Dia dah basah kuyup tu, aku pun bukan ada payung nak bagi, tapi betul ke tu memang dia? Kalau silap orang malu aku nanti..' Hatinya penuh dengan persoalan, apa yang perlu dibuat dia sendiri kurang pasti, akhirnya dia hanya melihat kedua gadis itu berlalu pergi.


Usai berbual dengan Khidhir, Fitri kembali masuk ke rumah. Dia mencapai telefon bimbitnya dan menghantar satu pesanan ringkas kepada Asyikin. Selepas beberapa ketika mereka berbual melalui SMS, ternyata gadis yang dilihatnya berjalan dalam hujan sebentar tadi adalah Asyikin, hatinya mula bergolak, 'Aduh.. apsal la aku tak tolong dia tadi, dah la awek aku yang berjalan dalam hujan tu.. aku boleh tengok je.. malunye..' Jelas kelihatan raut wajahnya yang sedikit kesal kerana hanya melihat kekasihnya itu berjalan di dalam hujan tanpa berbuat apa-apa.


Pertama kali mempunyai seorang kekasih disisi, dunianya berubah sama sekali, mempunyai seorang teman suka dan duka bersamanya, Fitri tahu dia tidak boleh mementingkan diri sendiri sahaja, niat hatinya kini untuk melakukan yang terbaik buat insan yang kini bertakhta dihatinya, Asyikin. 'Ya, mungkin aku tak boleh nak lakukan segalanya, tapi aku pasti boleh buat apa yang aku mampu selagi terdaya untuknya...' dia berbisik di hati.

...................................................................................................................................

13 November makin hampir, tarikh itu merupakan hari lahir Asyikin, Fitri mula merancang sesuatu. Niatnya untuk membuat sedikit kejutan buat Asyikin. Malam itu mereka bertemu di belakang kolej. Tapi tidak disangka, Asyikin dahulu yang membuat kejutan padanya.


"Orang ada benda sikit nak bagitau dekat abang ni..." Asyikin membuka bicara.

"Ok, apa dia?" Fitri memberi peluang kepada Asyikin untuk bersuara dahulu.

"Hari Sabtu ni orang kena jadi model, kawan orang mintak tolong.. tapi orang kena pi latihan hari Khamis dengan Jumaat tu..."

"Tapi hari Jumaat ni kan birthday Ekin.." Fitri cuba untuk menyatakan niatnya, tapi dia tidak mahu rancangannya terbongkar.

"Kenapa dengan birthday orang? Hemm.. orang teringin jugak nak jadi model tu.." Asyikin menyatakan hasratnya.

"Em, dah bagitau kat mak? mak kata apa?" Fitri cuba mendapatkan sedikit kepastian.

"Dah, mak bagi je.."

"Ok, kalau mak dah bagi takpa la, abang tak nak halang.." Fitri cuba memberi sokongan sebaik mungkin kepada Asyikin.


Biarlah rancangannya tidak berhasil, yang penting Asyikin gembira. Dia mahu memberi sokongan sepenuhnya kepada kekasihnya itu selagi mampu. Hari Jumaat, Fitri mendapat pesanan ringkas daripada Asyikin untuk mengambilnya di bandar Kuantan. Dia tidak lupa yang hari itu adalah hari lahir Asyikin, Fitri berlari masuk ke dalam bilik, dicapainya hadiah yang telahpun dibeli lebih awal dan meluru keluar menghidupkan enjin kereta. 'Dapat celebrate sekejap pun jadi lah..' Fitri berkata-kata sendiri.


Kali pertama dia menyambut hari jadi kekasihnya, mereka hanya makan kek di dalam kereta sambil  dalam perjalanan pulang ke kolej. Walaupun ringkas, Fitri gembira, dia juga berharap agar Asyikin juga gembira. Hanya itu yang mampu dilakukan untuk asyikin ketika itu. Keesokan harinya, Fitri menghantar Asyikin ke tempat yang telah dijanjikan oleh kawannya. Berat hatinya untuk membenarkan Asyikin menjadi model walaupun hanya sambilan seperti itu, tapi disimpan sahaja perasaan itu di dalam hati. Fitri terus pulang ke rumah selepas menghantar Asyikin kerana dia perlu mengulangkaji untuk ujian yang akan diadakan pada minggu hadapan.


Seperti yang dijanjikan dengan Asyikin sebelum menghantarnya tadi, Fitri keluar dari rumah malam itu untuk mengambil Asyikin pulang. Dia memandu agak laju kerana takut Asyikin ditinggalkan keseorangan disitu. Hampir sahaja dia tiba di tempat yang dijanjikan, telefon bimbitnya berbunyi. Ada panggilan masuk.


"Hello?" Fitri menjawab panggilan tersebut.

"Hello, Fitri eh? Ada kat mana sekarang?" Kedengaran suara seseorang yang tidak dikenalinya dihujung talian.

"Ada dekat dengan bangunan AmBank kat bandar"

"Ok, cepat sikit, Ekin ada dengan kawan dia tu tengah tunggu.." terus talian dimatikan.

'Kawan? Siapa pulak kawan dia? Oh, mungkin kawan yang ajak dia hari tu kot..' Fitri cuba untuk ingat siapa kawan yang dimaksudkan oleh pemanggil sebentar tadi.

Kurang lima minit, dia tiba di tempat tersebut. Fitri bingkas keluar mencari Asyikin, kekasihnya itu dilihat berdiri di tepi jalan bersama dengan seorang lelaki! Tapi Fitri hanya sekadar melihat, baru sahaja beberapa tapak dia berjalan, Fitri berpusing semula ke arah kereta. Dia sendiri tidak tahu mengapa dia buat begitu. Kepalanya pusing memikirkan siapa lelaki yang bersama dengan kekasihnya itu.


"Abang!!!" Asyikin memanggil Fitri sambil melambaikan tangan. Fitri berjalan menuju ke arah Asyikin. Dari perbualan ringkas ketika itu, dapatlah dia tahu yang lelaki itu bernama Saifuddin, teman lelaki Asyikin sebelum ini. Fitri bingkas teringat pesanan ringkas tentang kisah seorang gadis dan dua orang lelaki yang dihantar oleh Asyikin tempoh hari. Dia pasti inilah maksud sebenar kisah itu. Saifuddin jelas dilihat tidak berpuas hati dengan situasi dia berada sekarang. Fitri juga tidak mahu menunggu lama di situ. Mujur hujan mula menunjukkan tanda mahu turun. Dia terus mengajak Asyikin pulang sambil Saifuddin masih lagi kelihatan termanggu di situ. Jauh di benak hati Fitri, dia tidak mahu merampas sesiapa pun, tapi hatinya sudah mula sayang dan cinta pada Asyikin, dia bertekad tidak mahu mengalah dengan mudah. Yang pasti Fitri tahu, pasti akan ada masalah yang timbul berkaitan lelaki itu selepas ini. Dia perlu bersedia dengan segala kemungkinan.

.................................................................................................................................

Andai...



Andai hujan turun,
Biarlah ku basah menjadi payungmu,
Andai mentari terlalu terik,
Biarlah ku berpanas menjadi teduhanmu,
Andai gelap menyelubungi,
Biarlah ku menjadi pelita yang menerangi,


Mungkin kita tidak sempurna,
Mungkin kita banyak berbeza,
Biarlah perbezaan itu mewarnai hidup,
Melengkapi jiwa,
Menyatu dua hati,
Dirimu dan diriku...

Love you so much...


Love,

Anje...

Thursday, March 28, 2013

Aku cinta... Aku rindu... Aku sayang padamu!!!!


Sukar untukku meluahkan,
Apa yang terbuku di dadaku,
Tapi yang satu ini ku yakin,
Bahawa ku sangat merinduimu,
Ku sangat mencintaimu wahai kekasih hati,
Pengarang jantungku...

Di mana terciptanya cinta,
Di situ rindu bermula,
Dirimu insan istimewa,
Bukan hanya memikat hatiku,
Tapi ditawan kemas dalam hatimu...

Aku sedar bila tanpa dirimu,
Kurasakan dunia ini terhenti,
Lambat, kaku dan tidak bernyawa,
Bagaikan otakku terhenti berfikir...

Dan hanya satu tujuanku,
Hanya satu matlamatku,
Hanya satu destinasiku,
Menjadikan dirimu teman hidupku,
Dan menjagamu hingga akhir hayatku...


Love,

Anje...


Monday, March 25, 2013

Senyuman Indahmu


Ketika jari-jemariku melangkah,
Mengukir indah di atas awan putih,
Bersama sang mentari,
Memahat namamu sayang..

Senyumanmu dan kasihmu,
Menusuk dan membelai kalbu,
Sejak detik pertemuan itu,
Tiada kata seindah bahasa,
Dapat ku huraikan tentang kasihmu,

Ia terlalu indah untukku,
Ku ukirkan senyumanmu di hatiku,
Sebagai penguat kasih kita,
Ku temukan erti kerinduan,
Dan ku mengerti yang ku cari,

Bukanlah cantikmu yang ku cari,
Bukanlah itu yang aku nanti,
Tetapi kasihmu yang abadi,
Ku tahu mawar tak seindah dirimu,
Awan tak seteduh tatapan mu,
Apa lagi senyumanmu yang ku nanti,
Senyuman indahmu sayang...


Love,

Anje...