4 Tahun Berlalu....
"Kita nak pergi tengok baju kat kedai mana dulu ni?" Fitri menyoal Asyikin.
"Mana-mana pun takpe..." Seperti biasa, jawapan yang selalu diberikan oleh Asyikin akan membuatkan dia sendiri tertanya-tanya tempat yang harus dituju. Jarang benar Asyikin memberitahu sesuatu perkara itu dengan jelas lebih-lebih lagi jika ditanya berkenaan dengan tempat atau lokasi ketika mereka keluar bersama.
Fitri tiba seawal jam 11 pagi di rumah Asyikin hari ini. Mereka akan keluar mencari baju dan pakej pertunangan yang akan digunakan sempena majlis bertunang yang akan diadakan pada hujung bulan 12 nanti. Hati Fitri melonjak kegembiraan taktala hasrat hatinya untuk menyunting Asyikin sebagai suri hidupnya kini sudah terjawab. Tidak lama lagi, gadis itu akan menjadi tunangnya, dan harapannya agar mereka dapat bergelar suami isteri dan hidup bahagia hingga ke akhirnya.
Imbas kembali....
"Bulan 12 ni boleh la datang hantar rombongan.." Asyikin memulakan bicara semasa Fitri menghubungi gadis itu pada suatu malam. Pucuk dicita, ulam mendatang, perkara yang dinantikan selama ini sudah mendapat kepastiannya.
Beberapa kali hasratnya untuk menghantar rombongan untuk meminang Asyikin tidak kesampaian apabila gadis itu menyatakan ketidaksediaannya untuk menjadi tunangan orang. Ditambah lagi dengan krisis yang berlaku pada awal tahun itu yang hampir membuatkan hubungan mereka terpisah di tengah jalan, hampir saja dia putus asa di saat itu, tetapi Fitri cuba mencari sisa-sisa kekuatan dan cuba sedaya upaya untuk memenangi hati gadis itu.
Fitri terus menyatakan hasratnya itu kepada kedua ibu bapanya selepas Asyikin memberikan peluang untuknya. Hasratnya disambut baik oleh mereka, kini Fitri cuma perlu mencari tarikh yang sesuai untuk melangsungkan majlis pertunangan itu.
.......................................................................................................................................
Hari ini, perkara pertama yang perlu diselesaikan adalah untuk mencari baju yang sesuai untuk dipakai oleh Asyikin nanti, mereka tidak mempunyai banyak masa memandangkan masing-masing sibuk dengan urusan kerjaya yang padat ditambah pula dengan kesukaran Fitri untuk mendapatkan cuti memandangkan dia baru sahaja bertukar tempat kerja dan cuti mingguannya hanyalah pada hari Ahad.
Mereka singgah di sebuah kedai di Pusat Bandar Parit Buntar, ketika Fitri sudah pun memberhentikan keretanya, Asyikin kelihatan sedikit gelisah.
"Jom, kita pi tengok kat kedai tu dulu." Fitri menunjukkan kedai yang akan dituju.
"Orang segan la nak masuk, takpe ke ni? masuk tengok je? nanti orang tu cakap apa pulak..." Kegelisahan Asyikin mula terpancar.
"Takpe, kita masuk nanti cakap la nak survey dulu, diorang tak kisah la.." Fitri cuba memberi keyakinan.
"Betul ke ni kita nak bertunang Anje? Mana tau tak jadi ke?" Asyikin masih lagi kelihatan ragu-ragu.
"La, betul la, mak dengan abah Anje dah confirm nak datang, dah, jom kita pi tengok dulu baju kat dalam kedai tu." Fitri terus berjalan masuk ke dalam kedai membiarkan Asyikin masih lagi gusar di luar kedai, dia memberikan masa kepada gadis itu untuk menenangkan dirinya sementara dia melihat koleksi pakaian di dalam kedai itu.
Setelah sehari suntuk berjalan melihat pakej-pakej pertunangan yang disediakan di sekitar Parit Buntar, mereka akhirnya bersetuju untuk menempah pakaian di Amie Anjung, Fitri berkenan untuk menempah di situ kerana dia suka melihat solekan yang dikenakan tidak melebih-lebih, baginya cukup sekadar solekan yang biasa, tidak keterlaluan, dan dia sendiri kurang suka melihat Asyikin bersolek jika mereka keluar bersama, cukup sekadar memakai bedak kerana baginya muka tanpa solekan itu akan menyerlahkan kecantikan yang lebih asli. Untuk pelamin pula, mereka menempahnya dari saudara Asyikin.
Selepas siap menempah baju dan pelamin, mereka terus menuju ke Seberang Jaya untuk ke gedung pemborong barangan pengantin, Asyikin perlu mencari barang-barang yang akan digunakan sebagai alas untuk melapik hantarannya nanti. Apabila mereka sampai di sana, tempat itu hampir menamatkan operasinya, keadaan agak kelam kabut apabila mereka agak tergesa-gesa untuk mencari barang yang sesuai. Akhirnya, Asyikin mengikut cadangan Fitri agar kerjanya untuk membuat hantaran di rumah nanti akan lebih mudah.
Seharian mencari barang keperluan, mereka terus pulang selepas menikmati makan malam di restoran makanan segera, KFC. Selepas menghantar Asyikin, Fitri perlu berpatah balik ke Pulau Pinang kerana rumah sewanya di sana. Dalam perjalanan pulangnya,Fitri tersenyum keseorangan. Tidak sabar rasanya untuk menanti hari bersejarah itu. Harapannya agar segalanya berjalan lancar.
.............................................................................................................................
Kepulangannya ke kampung halaman kali ini bukanlah biasa-biasa kerana esoknya Fitri akan membawa ahli keluarganya ke rumah Asyikin untuk menghantar rombongan meminang gadis idamannya itu. Segala persiapan seperti barang hantaran dan cincin pertunangan hampir siap, Fitri sendiri tidak tahu cincin bagaimana yang akan diberikan nanti memandangkan cincin yang dibelinya dulu sudah ditukar oleh ibunya pada petang itu.
Rombongan mereka bertolak seperti yang dirancang, 6 buah kereta menuju ke satu destinasi, untuk merealisasikan impian seorang anak muda di bumi Negeri Perak. Hati Fitri semakin berdegup kencang, fikirannya celaru, terlalu gementar, harapannya agar kelancaran majlis hari ini tidak terganggu. Di sana, Asyikin sudah bersiap dengan pakaian yang ditempah, dan sedang disolek di kedai seperti yang diminta mereka tempoh hari.
Perjalanan yang memakan masa hampir dua jam itu akhirnya tiba ke destinasinya juga. Kelibat rombongan ahli keluarga Fitri di rumah Asyikin disambut baik. Hendak ikutkan hati, Fitri tidak mahu pergi ke mana-mana, tetapi sudah adatnya begitu, si lelaki tidak boleh ada berdekatan dengan rumah si perempuan, Fitri akur. Selepas menghantar rombongan itu, Fitri terus keluar dari kawasan rumah Asyikin, hanya menanti panggilan dari mereka dan pastinya harapannya agar apabila dia kembali nanti, Asyikin sudah pun menjadi tunangnya.
Tidak sampai setengah jam menunggu, dia dipanggil balik.
'Mai2 mkn..' pesanan ringkas yang diterima daripada Asyikin.
Fitri terus menuju ke rumah Asyikin semula, Alhamdulillah, perbincangan kedua belah pihak tidak memakan masa yang lama. Asyikin kini secara rasminya bergelar tunang kepada Fitri. Selangkah mereka menuju ke alam rumah tangga. Selepas ini, Fitri perlu meyiapkan dirinya dengan ilmu rumah tangga pula agar dia dapat menjadi suami yang baik kepada Asyikin. Impian untuk memperisterikan Asyikin kini semakin nyata, Fitri tidak mahu menoleh ke belakang lagi, inilah harapannya, inilah impiannya. Melihat Asyikin yang begitu cantik dengan pakaian yang dipilih mereka tempoh hari, Fitri tersenyum kegembiraan.
Selepas bergambar dengan tunangnya, Fitri membawa pulang rombongannya ke Kedah. Majlis yang berlangsung hampir dua jam itu menyaksikan ikatan pertunangan mereka berdua tidak lama lagi akan menyatukan dua keluarga dengan satu ikatan perkahwinan yang sah pula. Fitri masih lagi tersenyum, gembira sungguh dirinya. Dia kini sudah pun bertunang dengan Asyikin! =)
........................................................................................................................................