Sunday, December 4, 2011

Kembara Cinta : Chapter 8

Seminggu sahaja lagi bulan Ramadhan akan tiba, segala kelengkapan dapur diperiksa agar berada dalam keadaan yang baik. Pada bulan puasa selalunya Fitri lebih suka masak juadah berbuka sendiri daripada membelinya di bazar ramadhan atau pun kedai makan. Sudah banyak kali dia terkena, sakit perut selepas berbuka puasa, lagipun masak sendiri dapat menjimatkan lagi perbelanjaan pada bulan puasa ini. Dia sudah bercadang untung menggunakan wang yang disimpan untuk membeli beberapa helai baju baru untuk adik-adiknya pada hari raya nanti.

"Siapa nak beli barang-barang dapur ni?" Tanya Syahril semasa mereka berbincang mengenai juadah yang sesuai dimasak sepanjang bulan puasa nanti.

"Macam biasa la.. aku la yang beli.." Fitri bersuara, dia lebih suka begitu. Kalau diharapkan ahli rumah yang lain, belum tentu semua bahan yang diperlukan ada. Lagipun dia yang selalu masak, jadi dia lebih tahu barang-barang yang diperlukan.

Akhirnya tiba hari pertama mereka berpuasa, jam 5.30 petang Fitri sudah mula memasak juadah untuk berbuka, sahabatnya yang lain membantu apa yang perlu. Rasa penat seharian berulang-alik ke kelas hilang begitu sahaja apabila melihat pelbagai kerenah ahli rumah berkenaan. Hidup bujang, masakan tidaklah sehebat ibu masing-masing, yang penting perut kenyang!

Sambil memasak, Fitri mencapai telefon bimbitnya, dia terus menekan butang nombor lima, lebih senang menggunakan speed dial untuk orang-orang yang sentiasa dihubunginya. Nama Asyikin tertera di skrin telefon.

"Hello, Assalamualaikum..." Fitri memberi salam apabila Asyikin menjawab panggilannya.

"Waalaikummussalam.."

"Errr.. Ekin buat apa tu? dah beli makanan untuk berbuka?"

"Emm.. Orang ada dekat Kuantan Parade ni.. berbuka kat sini kot satgi.."

"Ooo.. ya ka.. kalau macam tu tak pa la.. selamat berbuka.. Assalamualaikum"

"Ok, abang pun.. Waalaikummussalam.." talian dimatikan.

'Alamak.. melepas la pulak.. baru ingat nak hantar lauk ni sikit.. hmm' Fitri mengeluh sendiri, dia berhasrat untuk memberikan sedikit juadah yang dimasaknya kepada Asyikin, tetapi tidak kesampaian pula. Azan Maghrib berkumandang setengah jam kemudian menandakan masuk waktu berbuka bagi kawasan Kuantan. Mereka menikmati makanan yang dimasak sebentar tadi dengan penuh selera. Masing-masing lapar kerana jadual kelas yang agak padat pada hari itu memaksa mereka berjalan kaki lebih kerap berbanding hari lain.

"Whoa.. sedap la kau masak.. dah macam masakan anak dara aku rasa.." Fikri memuji masakan sahabatnya itu.

"Kalau macam ni la cara kau masak.. kau jadi tukang masak aku je la nanti.. hahaha" Azrel pula menambah. Gurau senda tidak pernah lekang dengan mereka, ada sahaja perkara yang akan menyebabkan mereka ketawa. Sekurang-kurangnya dapat juga mengurangkan tekanan belajar.

"Kau kata nak bagi dekat budak junior sikit tadi, dah bagi ke belum?" Wafie sedikit berbisik kepada Fitri. Dia tidak mahu sahabatnya yang lain mendengar perbualan mereka.

"Dia makan kat luar hari ni.. lain kali je lah aku masak pulak.. hehe.."

"Takpe.. hari ni biar aku balun semua lauk ni dulu.. hahaha.." selesai makan, Fitri terus mandi dan solat. Dia kemudian bergegas ke masjid untuk solat terawih. Walaupun tak dapat lakukan selalu kerana kadang-kadang banyak tugasan yang perlu disiapkan tetapi dia pasti akan pergi jika ada kelapangan masa.

"Macam mana sekarang? Kau punya prob?" Wafie bertanya kepada Fitri selepas mereka pulang dari solat terawih.

"Ok sikit la.. aku pun dah malas nak fikir sangat dah.. yang penting aku akan dapatkan jugak diploma kat sini.. aku takkan berhenti.." Fitri sedikit bersemangat dengan kata-katanya.

"Bagus, jangan risau, kalau kau ade benda nak story dengan aku, bagitau je.. aku tak kisah.." Wafie cuba menaikkan lagi semangat sahabatnya itu. Baginya Fitri sudah seperti adik-beradiknya sendiri. Susah senang daripada semester satu hingga sekarang banyak dikongsi bersama sahabatnya itu. Sekarang apa salahnya dia membantu sedikit walaupun hanya dengan kata-kata, dia juga tidak mahu sahabatnya itu terus dalam keadaan tertekan seperti sebelum ini.


.................................................................................................................................

'Salam, ekin tgh wat ape 2?' Fitri cuba menghubungi Asyikin dengan menghantar pesanan ringkas beberapa hari selepas itu.

'Wmussalam.. xwat ape pun..' ringkas sahaja jawapan yang diterima.

'Sok ekin free x? jom g berbuka dgn abg..' Fitri cuba mempelawa gadis itu.

'Free kot.. xtau lg la abg.. sape lg yg ikut? abg nk g pkul bpe?' Jawapan yang diterima kurang meyakinkan, kalau pelawaannya ditolak, melepas lagilah kali ni.

'Fify pun ikut sekali.. dia ckp nak ajak Hendry.. dlm pkul 6, kalau lewat sgt nnt takut xde tempat lak nk makan.. '

'Ok.. sok ptg abg msg la ekin dlu..segan la plak nk g.. hehe..'

'Ok, kalau mcm 2 sok ptg abg msg ekin blik..' Tiada lagi mesej yang diterima selepas itu, mungkin Asyikin agak segan untuk keluar dengannya.

Kereta Kancil milik Fitri bergerak menuju ke kawasan gerai makan yang terletak berhampiran Kuantan Parade. Fify, Hendry dan Asyikin turut berada dengannya. Dia sangkakan gadis itu sudah tidak mahu turut serta, tetapi adik angkatnya terlebih dahulu memulakan langkah pada hari itu. 'Fify ajak ikut jgk la abang..' Dia teringat pada mesej yang diterima sebentar tadi. Serba salah pula Fitri pada Asyikin kalau-kalau Fify memaksa gadis itu untuk ikut mereka keluar berbuka puasa bersama.

Selesai menjamu selera, mereka singgah di masjid negeri untuk menunaikan solat. Fitri kemudian memandu kereta ke East Coast Mall, dia bercadang untuk mencari beberapa helai pakaian untuk dipakai semasa hari raya nanti. Lagipun dia memang jarang membeli pakaian baru, hanya pada waktu begini atau keadaan benar-benar memerlukan barulah dia akan keluar membeli-belah.

Fitri mengambil dua helai baju yang menarik minatnya di situ, harganya pun berpatutan. Dia kemudian mengajak Asyikin ke bahagian pakaian perempuan. Asykin hanya menurut sahaja ke mana Fitri pergi. Fify dan Hendry pula sudah hilang entah ke mana, mungkin dia tidak mahu mengganggu masa abang angkatnya berada dengan Asyikin. Fitri melihat beberapa helai baju yang disangkut di bahagian pakaian perempuan itu.

"Ekin pakai baju saiz apa?" Dia bertanya pada Asyikin tanpa menoleh pada gadis itu.

"Emm.. kadang-kadang saiz s, kadang-kadang saiz m..' Perlahan suara Asyikin memberikan jawapan. Dia kelihatan pelik dengan soalan dari Fitri tadi.

"Cantik tak baju ni?"
Fitri mengambil sehelai baju dan menunjukkan pada Asyikin. Dia hanya angguk tanpa memberikan sebarang jawapan.

"Ok, jom kita pi kat kaunter.. abang nak bayar baju ni.."

Semasa membayar, dia meminta kepada juruwang yang bertugas untuk mengasingkan pakaiannya dengan baju yang diambil di bahagian perempuan tadi. Kemudian dia menghulurkan baju itu kepada Asyikin.

"Nah baju raya.. abang belanja.. hehe.."

"Eh, apa ni abang? tak payah la.." Asyikin cuba menolak pemberian Fitri.

"Takpa, ambik la.. bukan selalu pun abang belanja.. nak raya ni.. hehe.."

"Ok, terima kasih.." Asyikin kelihatan malu dan serba salah dengan pemberian itu.

Mereka kemudian terus bertolak pulang ke kolej, Fitri terus masuk ke bilik dan menyimpan pakaian yang baru dibeli tadi. Dia kemudian merebahkan badan di atas katil sambil tersenyum sendirian. Akhirnya dia terlelap beberapa minit selepas itu, dalam lenanya Fitri masih lagi tersenyum sendiri.

..................................................................................................................................

"Abang, macam mana plan kita hari tu? ok tak?" Fify bertanya tentang rancangannya untuk mengajak Asyikin keluar berbuka tempoh hari.

"Ok la kot.. hehe.." Tersengih-sengih Fitri memberikan jawapan.

"Kalau dah tersengih macam tu, ok la tu.. tak payah nak kot-kot dah.. haha.." Fify mengusik abang angkatnya itu.

"So, lepas ni nak buat apa pulak?" Fitri meminta cadangan daripada Fify.

"Eh, abang fikir la sendiri.. kalau adik je yang bagi tak best la nanti.."

"Ala, takkan tak boleh kot.." Fitri cuba memujuk.

"Tak boleh! kali ni adik serahkan kat abang, mesti boleh la.. hehe" Fify cuba meyakinkan Fitri.

"Hmm.. ok lah, tengok lah macam mana nanti.. abang ada kelas ni, nanti kita jumpa lagi.. bye.." Fitri berjalan menuju ke blok kejuruteraan yang terletak bersebelahan dengan perpustakaan.

Minggu selepas itu, Fitri membuat panggilan kepada Asyikin. perbualan mereka pada hari itu agak lama. Banyak perkara yang dibualkan, tetapi Fitri ada satu perkara yang mahu dilakukan terlebih dahulu sebelum mereka berbual lebih lama.

"Nanti Ekin balik raya bila? pkul berapa?" Fitri mula bertanya.

"Hari Khamis pukul 9 malam.."

"Oo.. pergi naik apa?"

"Naik teksi ja.. pergi dengan kawan.."

"Emm.. kalau macam tu biar abang je la yang hantarkan.. lagipun abang nak pergi cari seluar jeans kat sana nanti.."

"Eh, takpa la abang, susahkan abang ja.."

"Takpa, abang yang ajak, bukan Ekin yang mintak.. hehe.. boleh ye abang hantarkan?"

"Em.. kalau macam tu ok la.. orang pergi dengan abang ja la.." Fitri kemudian terus menukar topik perbualan, jawapan yang pasti sudah diterimanya, dia tidak mahu lagi memanjangkan topik itu.

Hari Khamis jam 8.30 malam, mereka sudah berada di Terminal Bas Kuantan. Fitri membantu membawa beg Asyikin menuju ke bas yang sudah menunggu penumpang di platform 4. Mereka berdiri berhampiran dengan bas.

"Abang bertolak balik kampung bila?" Asyikin memulakan perbualan apabila dia melihat Fitri hanya diam membisu.

"Esok pagi lepas subuh.."

"Oo.. awalnya, kenapa tak bertolak lewat sikit?"

"Kalau bertolak lewat nanti sampai lewat, lagipun abang nak kena ambik adik perempuan abang dekat Pasir Salak dulu.. Dia duduk asrama kat sana.."

"Em.. ok, nanti bawak kereta elok-elok ye.." Asyikin memberikan senyuman yang sudah pasti membuatkan Fitri terpukau. Dia kemudian berjalan menuju ke pintu bas apabila pemandu bas sudah memberi isyarat mahu memulakan perjalanan. Bas menuju ke Parit Buntar akhirnya bertolak, Asyikin melambaikan tangan kepada Fitri dari dalam bas. Fitri kemudian terus berjalan di sekeliling terminal untuk melihat kalau ada pelajar kolejnya di situ.

Fitri kemudian mengambil keputusan untuk pulang ke rumah selepas bersalaman dengan beberapa pelajar junior yang juga bertolak balik ke kampung halaman mereka pada malam itu. Dia ternampak kelibat seorang gadis yang sedang menangis semasa melalui platform 5. Dia kenal gadis itu, Eiza!

"Kenapa ni?" Fitri bertanya sebaik menghampiri gadis itu.

"Tertinggal bas la abang.. macam mana nak balik ni.." Eiza kelihatan begitu sedih sekali.

"Eiza nak balik mana?"

"Nak balik Penang.."

"Macam ni lah, esok pagi lepas Subuh abang nak bertolak balik ke Kedah, kalau Eiza nak tumpang sekali boleh jugak.." Fitri memberikan cadangan kepada Eiza, hanya itu bantuan yang mampu diberikan.

"Betul ke ni abang? Alhamdulillah.. boleh jugak balik kampung.." Keceriaan kembali terserlah di wajahnya.

Selepas mendapat persetujuan dengan ahli keluarga Eiza, Fitri menyuruh gadis itu menumpang di rumah kawannya yang tinggal di Kuantan untuk berehat sebentar sebelum mereka bertolak pagi nanti. Fitri kemudian terus pulang ke rumah, persediaan rapi perlu dilakukan sebelum mereka bertolak nanti. Lima orang menaiki kereta Kancil, ditambah pula dengan beg pakaian masing-masing pastinya akan membuatkan mereka kelihatan seperti dalam tin sardin. Dia perlu menyediakan ruang kosong untuk menyimpan barang seluas mungkin. Jika tidak, perjalanan jauh yang akan ditempuhi nanti amat tidak selesa buat mereka.

....................................................................................................................................

No comments:

Post a Comment